Wednesday, April 25, 2012

zikir masuk rumah


Kebanyakan zikir yang digalakkan untuk dibaca apabila masuk ke dalam rumah ialah membaca Basmalah, memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan memberi salam sama ada terdapat orang di dalam rumah ataupun tiada. Hadis-hadis tersebut adalah seperti di bawah:

1. Dari Jabir bin ’Abdillah RA yang mendengar Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang dari kamu masuk ke dalam rumahnya, lalu menyebut nama Allah ketika memasukinya dan ketika hendak makan, berkata syaitan: Tiada tempat bermalam dan tiada makan malam untuk kamu semua (para syaitan). Dan apabila seseorang masuk ke dalam rumahnya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya, maka berkata syaitan: Kamu semua (para syaitan) telah mendapat tempat bermalam. Jika dia tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan, berkata pula syaitan: Kamu semua telah mendapati tempat bermalan dan makan malam.” (Muslim)

2. Digalakkan memberi salam sebelum masuk ke dalam rumah, tidak kira samada rumah sendiri atau rumah orang lain, samada berpenghuni ataupun tidak. Allah SWT berfirman:

#sŒÎ*sù OçFù=yzyŠ $Y?qãç/ (#qßJÏk=|¡sù #n?tã öNä3Å¡àÿRr& Zp¨ŠÏtrBô`ÏiB ÏYÏã «!$# ZpŸ2t»t7ãB Zpt6ÍhŠsÛ 4  ÇÏÊÈ

Mafhumnya: ”...Maka apabila kamu memasuki mana-mana rumah, berilah salam ke atas sesama kamu sebagai penghormatan yang disyariatkan oleh Allah, yang diberkati (mengandungi keselamatan, rahmat dan keberkatan) lagi baik...” (al-Nur: 61)

Al-Syeikh ’Abd al-Rahman al-Sa’di RH berkata ketika menafsirkan ayat ini, memberi salam dengan menyebut:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Atau:

السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَ

Al-Syeikh ‘Abd al-Razak bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr berkata: Perkataan (al-Sa’di) tentang lafaz salam: السَّلَامُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِيْنَketika memasuki rumah, terutamanya rumah yang tidak berpenghuni terdapat hadis tentangnya, namun ia tidak thabit dari Nabi SAW dengan sanad yang Sahih… akan tetapi berpada dengan apa yang thabit dari sunnah iaitulah dengan ucapan salam السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ adalah lebih dituntut dalam lebih sempurna, samada rumah itu berpenghuni ataupun tidak.

Perkataan السلام عليكم ketika memasuki rumah memiliki keberkatan ke atas insane dan ahli keluarganya seperti yang ditunjukkan di dalam ayat yang lalu (al-Nur: 61). Di dalam kitab Sunan al-Tirmizi, dari Anas RA yang berkata: Rasulullah SAW berkata kepadaku:

يا بني، إذا دخلت على أهلك فسلّم، تكن بركةعليك وعلى أهل بيتك

Mafhumnya: “Wahai anakku, jika kamu memasuki (rumah) menemui ahli keluarga kamu, berikanlah salam, ia menjadi keberkatan ke atas kamu dan ke atas ahli keluarga kamu.” (al-Tirmizi. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

Maka sesiapa yang memberi salam ketika memasuki rumahnya, maka dia berada dalam jaminan dari Allah Ta’ala. Di dalam (kitab) Sunan Abi Daud, (hadis) dari Abu Umamah al-Bahili, dari Rasulullah SAW yang bersabda:

ثلاثة كلهم ضامن على الله عز وجل: رجل خرج غازيا في سبيل الله، فهو ضامن على الله عز وجل، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل راح إلى المسجد فهو ضامن على الله تعالى، حتى يتوفاه، فيدخله الجنة أو يرده بما نال من أجر وغنيمة، ورجل دخل بيته بسلام فهو ضامن على الله سبحانه وتعالى

Mafhumnya: ”Tiga golongan, kesemua mereka yang dijamin dari Allah AZW: iaitulah seorang lelaki yang keluar berperang pada jalan Allah, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia gugur lalu dimasukkan ke dalam Syurga, atau dia pulang dengan memperolehi pahala atau ghanimah. Juga seorang lelaki yang keluar ke masjid, dia berada di dalam jaminan Allah, sehinggalah dia mati lalu dimasukkan ke dalam syurga atau dia pulang dengan memperolehi pahala dan ghanimah. Juga seorang lelaki yang memasuki rumahnya dengan memberi salam, dia berada di dalam jaminan Allah SWT. (Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)
1. Dari Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu keluar dari rumahnya, maka hendaklah dia membaca:

بِسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Mafhumnya: “Dengan nama Allah, daku bertawakkal kepada Allah, tiada keupayaan dan kekuatan melainkan dengan Allah.” Baginda seterusnya bersabda: dikatakan[1]ketika itu: engkau telah diberi petunjuk[2], diberi kecukupan[3] dan diberi pemeliharaan[4], lalu syaitan menjauhinya dan berkata syaitan yang lain: Bagaimana kamu (mampu memesongkan) seorang lelaki yang telah diberi hidayah, diberi kecukupan dan perlindungan?” (Abu Daud dan al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

2. Dari Umm Salamah RA yang berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah keluar dari rumah baginda sama sekali melainkan baginda akan mengangkat pandangannya ke langit dan membaca:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ، أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ، أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ، أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيَّ

Mafhumnya: “Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung denganMu dari tersesat atau disesatkan, atau dari tergelincir[5] atau digelincirkan, atau menzalimi atau dizalimi, atau daku melakukan perbuatan orang bodoh atau daku dibodohkan.” (Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah)

[1] Yang berkata di sini boleh dimaksudkan kepada Allah SWT atau boleh juga kepada Malaikat.
[2] Diberi petunjuk ke jalan yang benar kerana memohon pertolongan dari Allah SWT.
[3] Kecukupan dalam setiap urusan dunia dan akhirat.
[4] Pemeliharaan dari setiap kejahatan musuh dari kalangan syaitan dan selainnya.
[5] Perkataan أَزِلَّ diambil dari زَلَّةُ الْقَدَم tergelincir kaki, iaitulah memaksudkan perlakuan salah yang dilakukan secara tidak sengaja atau tidak disedari.
1. Dari Sa’id al-Khudriy RA, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ اللَّهِ فَلْيَحْمَدْ اللَّهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ فَإِنَّمَا هِيَ مِنْ الشَّيْطَانِ فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا وَلَا يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ فَإِنَّهَا لَا تَضُرُّهُ

Mafhumnya: “Apabila seseorang dari kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, maka perkara itu adalah dari Allah, maka bertahmidlah kepada Allah, dan ceritakanlah perkara tersebut. Jika dia melihat sesuatu yang tidak disukainya, perkara itu adalah dari syaitan, maka mohonlah perlindungan dari kejahatannya (kejahatan mimpi), dan jangan diceritakan kepada seseorangpun, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak dapat mendatangkan mudharat kepadanya.” (al-Bukhari)

2. Dari Abu Salamah, katanya:

لَقَدْ كُنْتُ أَرَى الرُّؤْيَا فَتُمْرِضُنِي حَتَّى سَمِعْتُ أَبَا قَتَادَةَ يَقُولُ وَأَنَا كُنْتُ لَأَرَى الرُّؤْيَا تُمْرِضُنِي حَتَّى سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الرُّؤْيَا الْحَسَنَةُ مِنْ اللَّهِ فَإِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يُحِبُّ فَلَا يُحَدِّثْ بِهِ إِلَّا مَنْ يُحِبُّ، وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ شَرِّهَا وَمِنْ شَرِّ الشَّيْطَانِ وَلْيَتْفِلْ ثَلَاثًا وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا أَحَدًا فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ

Mafhumnya: “Sesungguhnya aku pernah bermimpi suatu yang tidak elok, sehingga menyebabkan aku jatuh sakit, lalu aku mendengar Abu Qatadah berkata: Aku juga sebelum ini pernah bermimpi buruk sehingga menyebabkan aku jatuh sakit. Lalu aku mendengar Nabi SAW bersabda: Mimpi yang baik itu dari Allah, oleh yang demikian jika seseorang dari kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, maka jangan dia menceritakannya melainkan kepada sesiapa yang dia suka. Dan jika dia bermimpi sesuatu yang tidak disukainya, maka hendaklah dia meminta perlindungan dengan Allah dari kejahatan mimpi dan syaitan, dan meludah (meludah angin tanpa air liur) tiga kali, dan jangan dia menceritakannya kerana ia tidak akan memudharatkannya.” (al-Bukhari dan Muslim)

3. Dari Jabir RA pula, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤيَا يَكْرَهُهَا فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا، وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنْ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِيْ كَانَ عَلَيْهِ.

Mafhumnya: “Jika seseorang dari kamu semua bermimpi suatu yang dibencinya, maka hendaklah dia meludah (meludah angin tanpa air liur) ke sebelah kirinya tiga kali, dan meminta perlindungan dengan Allah daripada syaitan tiga kali, dan hendaklah dia berubah dari rusuk yang dia berada ketika itu.”

PENGAJARAN:

1. Mimpi yang baik adalah dari Allah SWT, sebagai khabar gembira kepada orang-orang yang beriman.

2. Sesuatu yang tidak disukai yang dilihat di dalam mimpi adalah dari syaitan bertujuan mendatangkan rasa sedih kepada orang yang beriman, dan semua itu tidak dapat memberi kemudharatan kepada orang yang beriman melainkan dengan keizinan dari Allah SWT. Apa yang dilihat di dalam mimpi terbahagi kepada tiga bahagian:Pertama: Mimpi baik sebagai khabar gembira dari Allah SWT. Kedua: Mimpi buruk dari syaitan bertujuan mendatangkan rasa bimbang dan sedih kepada manusia. Ketiga: Disebabkan perkara yang bermain di fikiran manusia.

3. Jika melihat sesuatu yang baik di dalam mimpi, tindakan yang perlu dilakukan ialah:

Pertama: Boleh bergembira dan menceritakannya kepada orang lain, dan jangan terpedaya.

قَالَ المروذي : أَدْخَلْت إبْرَاهِيمَ الْحُمَيْدِيَّ عَلَى أَبِي عَبْدِ اللَّهِ وَكَانَ رَجُلًا صَالِحًا فَقَالَ : إنَّ أُمِّيَ رَأَتْ لَك كَذَا وَكَذَا وَذَكَرَتْ الْجَنَّةَ . فَقَالَ : يَا أَخِي إنَّ سَهْلَ بْنَ سَلَامَةَ كَانَ النَّاسُ يُخْبِرُونَهُ بِمِثْلِ هَذَا، وَخَرَجَ سَهْلٌ إلَى سَفْكِ الدِّمَاءِ وَقَالَ : الرُّؤْيَا تَسُرُّ الْمُؤْمِنَ وَلَا تَغُرُّهُ

Maksudnya: al-Marruzi berkata: Aku membawa masuk Ibrahim al-Humaidi bertemu bapaku Abdullah, Ibrahim adalah seorang lelaki yang soleh, lalu dia berkata kepada bapaku: Ibuku melihatmu di dalam mimpi demikian dan demikian, dan dia menceritakan syurga. Kata bapaku: Wahai saudaraku, sesungguhnya Sahl bin Salamah, dahulunya orang ramai menceritakan kepadanya sama seperti cerita kamu ini, namun Sahl terlibat dalam menumpahkan darah (orang ramai). Selanjutnya dia (Abdullah bapa kepada al-Marruzi) berkata: Mimpi itu menggembirakan orang yang beriman, tetapi tidak memperdayakannya.” (al-Adab al-Syar’iyyah 3/451)

Kedua: Bertahmid atau memuji Allah yang telah memperlihatkan sesuatu yang menggembirakannya di dalam mimpi.

Ketiga: Menceritakan kepada sesiapa yang dia suka terdiri dari saudara dan kenalannya yang dapat berkongsi dan menasihatinya ke arah kebaikan.

Keempat: Tidak menceritakan mimpi tersebut kepada orang yang tidak disukainya, agar jauh dari keburukan dan kejahatan seperti hasad atau seumpamanya.

4. Jika melihat sesuatu yang tidak baik di dalam mimpi, tindakan yang perlu dilakukan ialah:

Pertama: Menyedari mimpi itu adalah dari syaitan bertujuan mendatangkan kesedihan, rasa takut dan seumpamanya kepada manusia. Oleh yang demikian tidak perlu menghiraukan mimpi tersebut dan jangan terpedaya dengan tipu daya syaitan.

Kedua: Meminta perlindungan dengan Allah dari kejahatan mimpi dan syaitan.

Ketiga: Meludah ke kiri tiga kali. Dikatakan ia dilakukan kerana syaitan datang dari arah kiri menghasut dan membisikkan keraguan ke jantung hati manusia, dan jantung hati itu pula berada lebih ke sebelah kiri, oleh yang demikian syaitan akan datang dari arah yang dekat dengan jantung hati. Wallau a’lam.

Keempat: Berubah ke rusuk satu lagi. Dikatakan tujuan melakukan perbuatan ini, ia merupakan harapan agar dapat berubah dari mimpi yang buruk tersebut kepada mimpi yang baik.

Kelima: Tidak menceritakannya kepada sesiapa. Terdapat hadis dari Jabir RA yang berkata: ”Suatu hari seorang lelaki datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah, aku bermimpi seolah-olah kepala aku dipancung. Kata Jabir: Lalu Nabi SAW ketawa dan bersabda: Apabila syaitan mempermainkan seseorang dari kamu di dalam mimpinya, maka jangan dia menceritakannya kepada orang lain.” (Muslim)

No comments:

Post a Comment