Friday, September 16, 2011

NAILAH BINTI FARAFISHAH jarinya terputus pertahankan suami



Jodoh tidak pernah mengenal usia. Apatah lagi sekiranya perkahwinan itu melibatkan seorang lelaki yang tua usianya dengan seorang wanita jauh lebih muda. Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya. Barangkali ada hikmat di sebaliknya.

Begitu juga dengan Nailah binti Farafishah bin Al Ahwash Al Kalbiyah. Ketika usianya mencecah 18tahun, beliau ditakdirkan bertemu jodoh dengan seorang yang jauh lebih tua. Namun, suaminya bukanlah calang-calang orang.

Ya, suaminya itulah merupakan sahabat Rasulullah SAW. Terkenal di kalangan sahabat lain. Siapa lagi jika bukan Saidina Uthman bin Affan. Ketika perkahwinannya dengan Saidina Uthman, usia suaminya telah mencecah 81tahun. Namun tetap bukan penghalang baginya untuk mendirikan rumah tangga dengan Amirul Mukminin berkenaan.

Walaupun usia dalam usia yang mud, Nailah telah betah untuk melaksanakan tanggungjawabnya. Beliau terkenal sebagai seorang Muslimah yang pandai, matang dalam berfikir. Sehinggakan beliau dipuji Sayidina Uthman sendiri.

“Saya tidak pernah menemui seorang wanita yang sempurna akalnya selain darinya. Saya tidak segan apabila ia mengalahkan akal saya,” demikian antara pujian yang diberikan Sayidina Uthman terhadap isterinya berkenaan.

Selain itu, Nailah turut terkenal sebagai seorang yang fasih dalam tutur kata, sasterawan dan penyair. Sayidina Uthman sendiri sangat senang dengan sifat dan perwatakan Nailah.
Sayidina Uthman pernah bertanya kepada Nailah mengenai perkahwinan mereka. Memandangkan jarak usia antara mereka berdua terlalu jauh perbezaannya. Pertanyaan itu berkisar sama ada Nailah keberatan menerimanya sebagai suami. Namun, Nailah mempunyai jawapan yang mengagumkan.

“Saya termasuk wanita yang lebih suka memiliki suami yang lebih tua”.
Jawapan itu disambut Sayidina Uthman dengan kata-kata bahawa dirinya ketika itu jauh melebihi ketuaannya. Sekali lagi, Nailah membuktikan kematangannya dengan menjwab.
“Tetapi masa mudamu sudah engkau habiskan bersama Rasulullah SAW. Dan itu sebenarnya jauh lebih aku sukai daripada segala-galanya.

Pengorbanan seorang isteri

Sebagai seorang isteri, Nailah sentiasa setia di samping suaminya. Beliau sering menjaga segala keperluan Sayidina Uthman. Bahkan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kasih sayang kepada suaminya.

Namun, pasti dalam setiap kehidupan, ada pengorbanan yang diperlu dilakukan. Membuktikan kasih sayang seorang isteri kepada suaminya. Pengorbanan Nailah pula hadir ketika berlakunya fitnah dalam kalangan umat Islam, ketika suaminya bertanggungjawab sebagai seorang khalifah.
Pelbagai fitnah telah dituduh ke atas Sayidina Uthman. 

Semuanya tidak lain hanyalah untuk menburukkannya. Antaranya, beliau dituduh melakukan bida’ah mengumpulkan dan membukukan      al-quran, membakar mushaf yang lain, membatalkan sunnah, mengqasarkan solat ketika musafir, tidak menyertai peperangan Badar, tewas dan lari dari medan Uhud, tidak hadir ketika perjanjian al- Ridhwan serta pelbagai lagi.

Disinilah terujinya cinta Nailah terhadap Sayidina Uthman, suami yang teramat disayanginya. Ketika berlakunya pemberontakan terhadap jawatan khalifah yang disandang Saidina Uthman, Nailah tetap berada di sisi menemani suaminya berkenaan.

Pada suatu detik, ketika suasana semakin genting, rumah Saidina Uthman telah dikepung oleh mereka yang memberontak. Mereka berniat untuk menggulingkan Saidina Uthman daripada jawatannya. Keadaan semakin memuncak apabila puak pemberontak telah berjaya memasuki kawasan rumah Sayidina Uthman.

Lantas, peluang untuk menbunuh Sayidina Uthman terbuka. Dua orang daripada puak pemberontak telah berada di hadapan Sayidina Uthman untuk menetaknya. ketika inilah Nailah hadir dengan menyambut hayunan pedang itu dengan tangannya. Akibatnya, jari-jari halus Nailah terputus akibat tetakan itu.

Tetakan demi tetakan dilepaskan kepada Sayidina Uthman. Namun Nailah tetap teguh mempertahankan suaminya dengan tubuh badannya sendiri. Badannya telah dipijak-pijak sehingga terpaksa melepaskan Sayidina Uthman.

Akhirnya, Sayidina Uthman syahid. Sayu sungguh hati Nailah melihatkan pembunuhan itu berlaku di hadapan mata kepalanya. Sehingga beliau berkata kepada pemberontak berkenaan:
“Kalian telah membunuhnya, sedangkan beliau telah menghidupkan malamnya dengan al-Quran”.

Kematian Sayidina Uthman sangat menyedihkan Nailah. Beliau menanggung kepedihan jiwa untuk tempoh masa yang lama. Sayidina Muawiyah kemudian menenang hatinya dengan menghantar pinangan ke atasnya. Naum, Nailah menolaknya.

Baginya, cintanya kepada Sayidina Uthman tidak dapat ditandinginya. Beliau tidak menerima pinangan itu kerana tidak mahu kesedihan akibat kehilangan Sayidina Uthman pudar. Bahkan, beliau juga tidak mahu apa yang diketahui Sayidina Uthman mengenai dirinya turut diketahui lelaki lain.

Kesetiaan, pengorbanan dan kasih sayang yang mendalam Nailah sesungguhnya begitu mengharukan. Begitulah cintanya kepada Sayidina Uthman walaupun Amirul Mukminin itu telah syahid akibat tangan-tangan orang munafik.


No comments:

Post a Comment