Monday, June 10, 2013

Darah Istihadhah

Apa maksud darah istihadhah?

Darah istihadhah ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan juga nifas. Darah istihadhah merangkumi;[1]
a) Darah yang keluar sebelum umur kemungkinan haid iaitu sembilan tahun mengikut jumhur ulamak.
b) Darah yang keluar kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam mengikut mazhab Syafi’ie.
c) Darah yang keluar melebihi tempoh maksima haid atau melebihi tempoh kebiasaan haid.
d) Darah yang melebihi tempoh maksima nifas.
e) Darah yang keluar dari wanita yang hamil mengikut pandangan jumhur ulamak selain mazhab Syafi’ie.
f) Darah yang keluar melebihi umur putus haid

Darah istihadhah tidak turun dari rahim sebagaimana darah haid atau nifas, akan tetapi keluar dari urat yang dipanggil al-‘Azil (العاذل).[2] Sifat darah istihadhah -menurut mazhab Syafi’ie- adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning).[3]

Apa caranya untuk membezakan antara darah haid dan darah istihadhah jika seorang wanita menghadapi masalah keluar darah yang berterusan atau melebihi tempoh kebiasaan haid?

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w., ada tiga kaedah untuk ia membezakannya;

1. Dengan merujuk kepada kebiasaan haidnya yang lalu. 

Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. kepada Wanita yang istihadhah pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid dan adapun yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadhah). Ini berpandukan hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi s.a.w.; ‘Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi s.a.w. menjawab; ‘Tidak. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat (عرق), bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Jadi, seorang wanita semasa menghadapi masalah tersebut, jika ia mengingati tempoh kebiasaan haidnya, hendaklah ia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadhah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadhah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadhah.

2. Dengan melihat kepada perbezaan darah. 

Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. Berkata al-Albani; hadis ini hasan soheh).

Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadhah.

3. Dengan merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita. 

Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari. Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi r.a. yang menceritakan; Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi s.a.w. untuk meminta fatwa dari baginda. Lalu baginda bersabda; Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah….(Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. Menurut al-Albani; hadis hasan).

Adalah wanita yang menghadapi masalah tersebut wajib merujuk kepada ulamak?

Ya, wajib ia merujuk kepada ulamak. Berkata Imam Ibnul-Jauzi dalam kitabnya “أحكام المرأة” (Hukum Hakam Wanita); apabila berlaku kepada seorang wanita yang kedatangan haid keadaan-keadaan yang berbeza dengan kebiasaan haidnya, wajib ke atasnya menceritakan kepada para fuqahak pada setiap apa yang berlaku (untuk mendapat pandangan Syarak serta fatwa). (Halaman 42).

Apakah kedudukan wanita yang menghadapi darah istihadhah pada hukum Syarak?

Mereka adalah seperti wanita yang suci kerana darah yang keluar dari faraj mereka tidak dianggap oleh Syarak sebagai darah haid, tetapi darah penyakit atau istihadhah. Kerana itu, mereka wajib menunaikan solat dan berpuasa serta diharuskan bagi mereka perkara-perkara yang dilarang ke atas wanita yang haid (yakni tawaf, sujud, membaca al-Quran, I’tikaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya).

Oleh demikian, wanita Istihadhah wajib mandi apabila menyedari bahawa hari-hari haidnya telah tamat sekalipun darah masih keluar dari kemaluannya (yakni darah istihadhah). Hukum ini telah menjadi ijmak ulamak berdalilkan arahan Rasulullah s.a.w. kepada Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. (yang menghadapi masalah istihadhah); “…..tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”.

Bagaimana cara wanita yang menghadapi masalah istihadhah mengambil wudhuk? Adakah terdapat perbezaan dengan wanita suci lain yang tidak menghadapi masalah istihadhah?

Ya, ada perbezaan. Wanita yang mengalamai masalah istihadhah walaupun menyamai hukum wanita yang suci secara amnya sebagaimana dinyatakan tadi, namun ada sedikit perbezaan antaranya dengan wanita suci yang lain memandangkan darah masih keluar dari farajnya. Perbezaan itu ialah;

1. Wanita yang mengalami masalah istihadhah, ia hendaklah menunggu masuk waktu barulah mengambil wudhuk jika ingin mengerjakan solat fardhu atau solat sunat yang berwaktu. Tidak harus ia mengambil wudhuk sebelum masuknya waktu kerana wudhuknya hanyalah wudhuk darurat dan sesuatu yang dilakukan kerana darurat hendaklah dilakukan apabila tiba waktunya.

2. Menurut mazhab Syafi’ie; satu wudhuk hanya untuk satu solat fardhu sahaja. Jika ia ingin mengerjakan berbilang-bilang solat fardhu (seperti solat qadha, nazar atau menjamakkan) ia wajib mengulangi wudhuknya. Adapun solat-solat sunat, harus ia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang diingini dengan satu wudhuk. Namun menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; harus ia mengerjakan dengan satu wudhuk seberapa banyak solat fardhu yang dikehendaki, iaitu tiada beza dengan solat sunat.[4]

3. Sebelum mengambil wudhuk ia hendaklah membasuh kemaluannya dengan sempurna, kemudian membalutnya dengan kain atau sebagainya sekadar yang termampu (untuk membendung darah dari keluar sekadar terdaya). Setelah itu, hendaklah ia segera mengambil wudhuk.

4. Ketika mengambil wudhuk hendaklah ia berniat untuk mengharuskan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang mensyaratkan wudhuk. Contohnya; ia meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk ia berniat untuk mengangkat hadas kerana hadasnya tidak akan terangkat selama darah sentiasa mengalir keluar dari kemaluannya kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.

5. Setelah selesai wudhuk hendaklah ia segera menunaikan solat tanpa menangguh lagi.

6. Sebahagian ulamak mengharuskan wanita yang menghadapi masalah istiadhah menjamakkan dua solat dengan sekali wudhuk iaitu menjamakkan zohor dan asar atau maghrib dan isyak. Ini kerana Rasulullah s.a.w. pernah menyuruh Hamnah binti Jahsyi r.a. yang mengalami masalah istihadhah menjamakkan dua solatnya dengan sekali mandi sebagaimana baginda pernah menyuruh Sahlah binti Sahal r.a. berbuat yang sama.

Adakah wanita istihadhah harus disetubuhi suaminya?

Berlaku khilaf di kalangan ulamak;

1. Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie); harus bagi suaminya mensetubuhinya sekalipun darah sedang keluar dari kemaluannya.

2. Menurut Imam an-Nakha’ie dan al-Hakam; dilarang mensetubuhinya kerana diriwayatkan dari Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa beliau menegah suami mensetubuhi isterinya yang istihadhah.

3. Imam Ibnu Sirin memakruhkannya.

4. Berkata Imam Ahmad; Tidak harus mensetubuhinya kecuali jika terlalu lama istihadhahnya. Dalam satu riwayat yang lain darinya; Tidak harus kecuali jika ditakuti suaminya akan berbuat dosa (zina dan sebagainya).

Darah Nifas

Apa yang dimaksudkan darah nifas?
Darah nifas ialah darah yang keluar dari faraj wanita kerana melahirkan anak.

Adakah darah yang keluar sebelum lahirnya anak juga dikira darah nifas?

Sepakat para ulamak menyatakan bahawa darah yang keluar dari kemaluan wanita sebaik sahaja selepas melahirkan anak adalah darah nifas. Namun mereka berikhtilaf berkenaan darah yang keluar bersama dengan bayi atau sebelum kelahiran bayi; adakah termasuk darah nifas atau tidak?;

1. Bagi pandangan mazhab Syafi’ie; Darah nifas ialah darah yang keluar selepas lahirnya bayi sepenuhnya. Oleh demikian, darah yang keluar bersama bayi atau sebelumnya bukan darah nifas. Ia sama ada darah haid (jika ia sedang haid kerana mazhab Syafi’ie berpandangan harus wanita hamil kedatangan haid) atau darah fasad jika bukan haid.[1]

2. Di sisi mazhab Imam Ahmad; darah yang keluar dua hari atau tiga hari sebelum melahirkan anak yang disertai dengan rasa sakit, begitu juga darah yang keluar bersama dengan keluarnya bayi adalah dikira darah nifas sama seperti darah yang keluar selepasnya. 

3. Mengikut mazhab Imam Malik pula; darah nifas ialah darah yang keluar ketika bersalin dan selepasnya. Adapun darah yang keluar sebelum bersalin, maka ia bukan darah nifas tetapi darah haid di sisi mereka. 

Berapa lamakah tempoh paling pendek bagi darah nifas?

Terdapat khilaf di kalangan ulamak dalam masalah ini;

1. Mengikut mazhab Syafi’ie; tempoh nifas paling pendek (selepas seorang wanita melahirkan anak) ialah ialah seketika atau sedetik (لحظة).

2. Para fuqahak yang lain berpendapat; tidak ada had bagi tempoh minima nifas kerana tidak terdapat nas Syarak menentukannya.

Adalah tidak mustahil seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah nifas sedikitpun. Terdapat riwayat menceritakan seorang wanita pada zaman Nabi s.a.w. melahirkan anak tanpa keluar darah nifas, lalu ia dipanggil dengan nama Zatil-Jufuf iaitu wanita yang kering.

Berapa lamakah tempoh paling panjang bagi darah nifas?

Masalah ini juga diikhtilafkan oleh ulamak;

1. Jumhur ulamak –merangkumi ulamak-ulamak sahabat, mazhab Imam Ahmad, Abu Hanifah, as-Sauri dan sebagainya- berpandangan; tempoh nifas yang paling panjang ialah 40 hari. Pandangan ini berdalilkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Wanita-wanita bersalin pada zaman Nabi s.a.w. menunggu (selepas bersalin) hingga 40 hari” (HR Imam at-Tirmizi).
Berdasarkan pandangan jumhur ini; wanita bersalin jika ia mendapati darah masih keluar dari kemaluannya walaupun selepas 40 hari, maka darah yang keluar selepas 40 hari itu bukan lagi darah nifas, akan tetapi darah penyakit (istihadhah). Oleh itu, selepas 40 hari itu hendaklah ia mandi wajib dan menunaikan solat walaupun darah masih keluar. Keadaannya sama seperti wanita yang istihadhah dan tertakluk dengan hukum-hakamnya sebagaimana yang akan diterangkan nanti.
2. Imam Syafi’ie dan mazhabnya mempunyai pandangan berbeza dari pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; tempoh maksima nifas ialah 60 hari. Jadi, jika seorang wanita darah bersalinnya berlarutan selepas 40 hari, mengikut pandangan ini; darah itu masih dianggap darah nifas sehinggalah 60 hari. Dalam tempoh 60 hari itu jika darah masih keluar, tidak harus ia mengerjakan solat, puasa dan sebagainya lagi dari ibadah-ibadah yang mensyaratkan bersuci. Jika selepas 60 hari darah masih lagi keluar, maka ketika itu barulah ia dianggap darah penyakit dan tertakluk dengan hukum-hakam istihadhah dan sulasul-baul sebagaimana di atas. Imam Syafi’ie berhujjah berdasarkan pengalaman, yakni menurut pengalaman dan pemerhatian beliau; terdapat wanita yang pernah mencapai tempoh nifas hingga 60 hari. Adapun tempoh 40 hari yang disebut oleh Ummu Salamah dalam hadis di atas, itu adalah tempoh kebiasaan nifas bagi kebanyakan wanita, bukan bermaksud tempoh maksimanya.

Bagaimana jika kelahiran melalui pembedahan?

Wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan, jika keluar darah melalui farajnya selepas pembedahan itu, darah itu adalah darah nifas. Jika tidak ada darah yang keluar, tidak ada nifas baginya dan ia dikira suci. Kesimpulannya, sama ada seorang wanita itu bernifas atau tidak bergantung kepada keluar atau tidak darah dari farajnya selepas melahirkan anak, bukan bergantung kepada cara melahirkan iaitu melalui jalan biasa atau dengan pembedahan.

Bagaimana dengan suci antara hari-hari nifas? Adakah masih dianggap dalam nifas atau dianggap dalam suci?
Seorang wanita selepas bersalin melihat darah keluar dari farajnya lima hari, kemudian ia mendapati empat hari berikutnya darah berhenti, kemudian datang semula selepas itu selama lima hari; apa kedudukannya pada hari-hari ketiadaan darah itu, adakah ia suci atau masih dianggap bernifas?

Jawapannya; menurut pendapat ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; jika tempoh berhenti darah itu l5 hari atau lebih, maka ia dikira suci (yakni bersih dari nifas). Darah yang keluar selepas itu dikira darah haid. Adapun jika kurang dari 15 hari, maka ia masih dianggap berada dalam nifas mengikut pandangan yang rajih dalam mazhab. Jika ditakdirkan seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah sedikitpun selepas bersalinnya dan keadaan itu berterusan hingga 15 hari, maka ia dianggap suci secara keseluruhannya. Jika keluar darah selepas 15 hari itu, maka darah itu dikira darah haid, bukan darah nifas. Dalam kes ini, wanita itu dianggap tidak bernifas.

Bagaimana dengan wanita yang melahirkan bayi kembar?

Bagi wanita yang melahirkan anak kembar, menurut mazhab Syafi’ie; nifasnya dikira selepas kelahiran bayi kedua. Adapun darah yang keluar selepas kelahiran bayi pertama ia tidak dianggap darah nifas, tetapi darah haid jika berbetulan dengan kebiasaan haidnya atau dikira darah fasad/illah jika tidak berbetulan dengan kebiasaan haidnya.

Bagaimana dengan wanita yang keguguran anak? Adakah darah yang keluar selepas gugur itu dikira darah nifas?

Persoalan ini menjadi perbahasan di antara ulamak;


1. Mazhab Syafi’ie berpandangan; tidak disyaratkan untuk dikira darah nifas bahawa bayi yang dilahirkan itu hidup atau sempurna kejadian. Asalkan bidan mengesahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

2. Menurut mazhab Imam Malik; seorang wanita dikira bernifas jika janin yang gugur itu telah berumur empat bulan. Jika yang gugur itu baru dalam peringkat ‘alaqah atau mudghah, maka tidak dikira nifas bagi darah yang keluar selepasnya.

Apakah hukum wanita yang berada dalam nifas?

Telah disepakati oleh sekelian ulamak (yakni telah berlaku ijmak) bahawa wanita yang menghadapi nifas hukumnya menyamai wanita yang haid. Oleh itu, dilarang/diharamkan ke atasnya perkara-perkara yang dilarang/diharamkan ke atas wanita yang kedatangan haid. Dan ia wajib mandi apabila kering darah nifasnya untuk membolehkannya melakukan solat, berjimak dengan suaminya dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang tidak harus ia lakukan melainkan setelah mandi wajib.

Nota Hujung;

[1]Para ulamak mazhab Syafi’ie memperincikan syarat darah nifas dengan penjelasan; hendaklah darah itu keluar selepas kosong rahim sepenuhnya dari bayi (yakni bayi telah keluar sepenuhnya dari rahim). Jika sebahagian sahaja badan bayi yang telah keluar dan masih tinggal sebahagian lagi yang belum keluar walaupun sedikit, maka darah yang keluar belum lagi dianggap darah nifas. Disyaratkan juga, darah itu keluar sebaik sahaja selepas kelahiran iaitu dalam tempoh lima belas hari. Adapun selepas 15 hari atau lebih baru darah keluar (yakni sebelum itu darah tidak keluar walaupun setitik), maka darah yang keluar itu tidak dianggap darah nifas. Ia dianggap darah haid.

Darah Haid

Apa yang dimaksudkan dengan darah haid?

Haid dari segi bahasa bermakna mengalir.

Adapun dari segi istilah ahli Fiqh, ia adalah darah yang mengalir keluar dari kemaluan wanita dari dalam rahimnya (uterus) kerana semulajadi (bukan kerana penyakit atau kerana selepas melahirkan anak). Keluarnya pada masa tertentu apabila seorang wanita telah mencapai umur tertentu.[1]

Apakah syarat-syarat darah haid?

Syarat-syarat darah haid ialah;

1. Warna darah yang keluar menepati ciri-ciri warna darah haid.
2. Seorang wanita itu telah mencapai umur kemungkinan haid. Maka darah yang keluar sebelum umur tersebut tidak dianggap haid.
3. Rahimnya kosong dari anak kerana wanita yang hamil tidak mungkin akan kedatangan haid mengikut jumhur ulamak (kecuali Syafi’ie dan Malik).
4. Hendaklah tempoh kedatangan haid tidak kurang dari tempoh minimanya.
5. Hendaklah kedatangannya tidak melebihi tempoh maksimanya.
6. Hendaklah kedatangannya didahului oleh tempoh suci yang paling pendek (iaitu 15 hari mengikut mazhab Syafi’ie) bagi wanita yang telah biasa kedatangan haid.

Jika darah yang keluar memenuhi syarat-syarat di atas, ia adalah darah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid tetapi darah istihadhah.

Apakah warna darah haid?


Menurut ulamak; warna-warna darah haid ada lima, iaitu;
1. Hitam
2. Merah
3. Asyqar (warna antara merah dan kuning)
4. Kuning
5. Keruh

Kebiasaannya, mula-mula datang haid berwarna hitam, kemudian berubah kepada merah, kemudian antara merah dan kuning, kemudian kuning dan akhirnya keruh (yakni antara putih dan hitam).

Tanda habisnya haid ialah warna putih atau tiada sebarang warna. Apabila hilang semua warna-warna tadi sama ada kelihatan warna putih (seperti kapur putih yang disebut oleh Aisyah r.a. dalam hadisnya) atau tidak kelihatan sebarang warna, maka itu tandanya darah haid telah habis. Ketika itu, barulah ia boleh mandi dan melakukan ibadah sebagaimana wanita yang suci.

Bilakah warna kuning dan keruh dianggap haid dan bila pula tidak dianggap haid?

Warna kuning dan keruh hanya dianggap haid pada hari-hari kebiasaan haid. Ini berpandukan kepada hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; para wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”. (Riwayat Imam al-Bukhari)
Adapun selepas hari kebiasaan haid (yakni pada hari-hari suci), maka warna kedua-duanya tidak dianggap darah haid. Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haid) sebagai sesuatu (dari darah haid)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)

Berapakah umur kemungkinan datangnya haid?

Menurut jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’ie, Hanafi, Hanbali dan kebanyakan ulamak mazhab Maliki); sekurang-kurang umur datangnya haid ialah sembilan tahun. Maka menurut pandangan ini, darah yang kelihatan sebelum sembilan tahun bukan darah haid, tetapi darah penyakit (istihadhah).

Sebahagian ulamak mazhab Maliki berpendapat; jika darah keluar dari kanak-kanak perempuan antara umur 9 hingga 13 tahun, hendaklah keadaannya ditanya kepada kaum wanita atau doktor yang berpengalaman. Jika mereka mengesahkan bahawa yang keluar adalah haid, maka darah itu adalah haid. Jika tidak, maka ia bukan darah haid.

Wanita yang kedatangan haid –jika umurnya telah genap sembilan tahun mengikut pandangan jumhur tadi-, ia dianggap telah baligh dan dituntut melaksanakan kewajipan-kewajipan Syarak. Ia sama seperti kanak-kanak lelaki yang baligh kerana mimpi hingga keluar mani. Bagi kanak-kanak yang tidak bermimpi atau datang haid, umur balighnya ialah 15 tahun, yakni apabila masuk umur 15 tahun, maka mereka dikira baligh sekalipun tidak datang haid atau tidak berlaku mimpi tersebut.

Berapakah umur putusnya haid?

Menurut mazhab Syafi’ie; tidak ada umur tetap bagi putusnya haid. Ia hendaklah dikiaskan kepada ahli-ahli keluarga terdekat bagi seorang wanita dari pihak bapa dan juga pihak ibu seperti ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu-ibu saudara sebelah ibu. Hal tersebut kerana faktor keturunan. Namun jika perlu untuk dilihat kepada faktor umur, maka Imam Syafi’ie menganggarkan bahawa umur putus haid ialah selepas 62 tahun kerana ia adalah umur kebiasaannya wanita putus haid.

Mazhab Imam Abu Hanifah menetapkan umur putus haid sebagai 55 tahun. Selepas umur tersebut, darah yang keluar tidak lagi dinamakan haid mengikut pandangan yang terpilih dalam mazhab.

Menurut mazhab Maliki pula, umur putus haid dari 50 hingga 70 tahun. Jika darah masih keluar selepas umur 70 tahun, maka ia bukan haid tetapi istihadhah.

Mazhab Imam Ahmad pula menetapkan umur putus haid antara 50 hingga 60 tahun.antara dua tempoh ini merupakah tempoh syak di mana jika seorang wanita melihat darah semasa tempoh ini, maka ia tidak boleh berhenti dari ibadah sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) dan keluar dari khilaf. Namun jika umurnya genap 60 tahun dan darah masih keluar, maka darah yang dilihatnya bukan darah haid, tetapi istihadhah.

Apa yang perlu dilakukan oleh wanita yang telah putus haidnya?

Wanita yang telah putus haid, ia hendaklah bertindak sebagai perempuan yang suci sepanjang masa sama ada dari segi ibadah atau hukum-hakam yang lain. Dalam masalah eddah pula, ia hendaklah bereddah mengikut bulan, bukan mengikut bilangan haid atau bilangan suci lagi. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya dalam surah al-Talaq, ayat 4.

Adakah perempuan mengandung ada kemungkinan datang haid?


Para ulamak berikhtilaf dalam masalah ini;

Menurut jumhur ulamak; perempuan mengandung tidak ada kemungkinan datangnya haid. Maka jika seorang wanita melihat darah keluar melalui farajnya semasa ia sedang mengangdung, darah itu bukan darah haid, tetapi darah penyakit.

Namun menurut Imam Syafi’ie, Malik dan al-Laits; perempuan mengandung ada kemungkinan datangnya haid. Menurut mereka; jika perempuan yang mengandung itu mendapati darah keluar dari farajnya dan keluarnya menepati hari-hari kebiasaan haidnya serta kelihatan ciri haid pada darah tersebut, maka darah itu adalah darah haid.

Berapa lamakah tempoh paling singkat berlakunya haid dan berapa pula tempoh paling panjang atau paling lama?

Dalam menentukan tempoh paling singkat dan tempoh paling panjang bagi haid, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut Imam Syafi’ie, Atha dan Abu Thur; tempoh haid yang paling singkat ialah sehari semalam (yakni 24 jam) secara berterusan.[2] Tempoh kebiasaan wanita kedatangan haid ialah selama enam atau tujuh hari. Adapun tempoh paling panjang bagi haid ialah lima belas hari. Maka berdasarkan pandangan ini; jika darah yang datang kurang dari sehari semalam atau melebihi lima belas hari, maka ia bukan darah haid tetapi darah penyakit atau istihadhah.

2. Bagi Imam Abu Hanifah dan as-Sauri pula; tempoh haid paling singkat ialah tiga hari dan tempoh paling panjang ialah 10 hari.

3. Mengikut Imam Malik pula, tidak ada batasan bagi tempoh haid yang paling singkat, yakni ada kemungkinan haid datang sedetik sahaja. Adapun tempoh paling panjang, terdapat tiga riwayat dari beliau iaitu; 15 hari, 17 hari atau tiada batasan.

4. Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; tidak perlu ditentukan tempoh paling singkat bagi haid dan juga tempoh paling lama baginya, akan tetapi dikira apa yang telah tetap menjadi kebiasaan bagi seorang wanita maka itulah tempoh haid baginya sekalipun tempoh itu kurang dari sehari atau lebih dari 15 hari atau 17 hari. Begitu juga tidak ada had bagi umur paling bawah untuk kedatangan haid dan juga umur paling lama/paling hujung. Sama juga, tidak ada had bagi sekurang-kurang masa suci antara dua haid. Menurut beliau lagi; bagi perempuan yang mula-mula kedatangan haid (مبتدأة), maka dikira/dihitung sebagai haid darah yang ia lihat selagi ia tidak menjadi mustahadhah (yakni perempuan yang kedatangan istihadhah iaitu darah yang keluar bukan pada masa yang sepatutnya). Begitu juga, perempuan yang berubah kebiasaan hari-hari haidnya (yakni hari-hari kebiasaan haidnya berubah sama ada bertambah atau berkurang atau bertukar pada hari-hari yang lain), maka perubahan itu adalah dikira haid sehinggalah ia mengetahui bahawa darah yang keluar itu bukan haid, tetapi istihadhah kerana darah yang keluar berterusan tanpa henti.

Suci di antara hari-hari kebiasaan haid; adakah dianggap haid atau tidak?

Dalam persoalan ini terdapat khilaf di kalangan ulamak;

a) Mazhab Syafi’ie dan Abu Hanifah berpendapat; suci yang berlaku pada hari-hari haid dikira sebagai haid. Oleh demikian, jika seorang wanita mendapati satu hari keluar darah dan satu hari berikutnya suci (di mana ia mengetahui suci itu sama ada dengan keringnya darah atau dengan ia meletakkan kapas dan tiada kesan darah haid pada kapas), kemudian hari berikutnya datang semula darah, maka menurut pandangan ini keseluruhan hari adalah haid.

Berkata Imam Khatib as-Syirbini dalam al-Iqna’; “Suci antara darah-darah sama ada dalam tempoh minima haid (iaitu sehari semalam) atau lebih adalah dikira haid kerana mengikutinya (yakni mengikuti haid), tetapi dengan beberapa syarat, iaitu;
a) Tempoh suci itu tidak melebihi 15 hari.[3]
b) Darah-darah haid (yang keluar secara keseluruhannya) tidak kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam.
c) Suci itu hendaklah dikelilingi antara dua darah haid”.

b) Mazhab Maliki dan Hanbali pula berpandangan; hari suci antara hari-hari kebiasaan haid adalah dikira suci. Oleh demikian, seorang wanita pada hari suci tersebut hendaklah mandi dan menunaikan solat, harus ia berpuasa, beriktikaf, membaca al-Quran dan tidak ditegah suaminya mensetubuhinya pada hari suci itu.

Apakah larangan-larangan Syarak ke atas wanita yang kedatangan haid?

Wanita kedatangan haid dilarang/diharamkan oleh Syarak untuk melakukan perkara-perkara berikut;

a) Mengerjakan solat
b) Melakukan tawaf
c) Menyentuh mushaf dan membawanya
d) Membaca al-Quran
e) Berhenti atau menetap di dalam masjid (termasuk beriktikaf)
f) Melintasi masjid jika dikuatiri akan mencemarkan masjid
g) Berpuasa
h) Bersetubuh dengan suami
i) Dijatuhkan talak ke atasnya


Semua larangan di atas tidak terangkat kecuali setelah mandi wajib melainkan tiga larangan sahaja iaitu; puasa, talak dan melintasi masjid di mana ketiga-tiga larangan ini terangkat sebaik sahaja kering darah haid atau nifas, iaitu tidak disyaratkan selepas mandi barulah perkara-perkara tersebut harus dilakukan.

Bilakah wanita haid dibolehkan mandi wajib?

Bila ia mendapati darah haidnya telah habis, yakni telah kering. Sabda Nabi s.a.w. dalam hadis ‘Aisyah r.a. (mengikut satu riwayat darinya); “Apabila haid kamu telah habis, maka mandilah dan tunaikanlah solat”.

Apakah caranya untuk memastikan darah haid benar-benar habis?

Hendaklah dilakukan pemeriksaan terhadap faraj, iaitu dengan memasukkan cebisan kain, kapas atau sebagainya ke dalam faraj dan melihat sama ada masih terdapat kesan darah haid atau tidak. Jika tidak ada kesan darah haid sama ada tidak nampak sebarang warna pada kain/kapas tersebut atau nampak warna putih seperti kapur, maka ketika itu barulah diharuskan mandi. Jika masih ada sebarang kesan warna darah atau warna kuning atau keruh, tidak harus mandi lagi kerana darah haid belum habis.

Kaedah pemeriksaan di atas diambil daripada amalan wanita-wanita sahabat sebagaimana yang diceritakan oleh Saidatina ‘Aisyah r.a.; “Wanita-wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (*Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid atau belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih” (HR Imam al-Bukhari dan Imam Malik).

Nota Hujung;

[1] Takrif ini adalah hasil gabungan pelbagai takrif ulamak. Lihat; al-Haidh wa an-Nifas wa Ahkami at-Taharah Lin-Nisa’, Ibrahim Muhammad Jamal, hlm. 18-19.
[2] Tidak disyaratkan berterusan itu dengan darah kelihatan mengalir keluar. Memadai dengan diketahui bahawa darah itu ada iaitu sekira-kira jika diletakkan kapas atau kain, akan terlihatlah kesan darah padanya.
[3] Jika seorang wanita mu’tadah melihat darah berwarna hitam selama lima hari, kemudian ia suci 15 hari, kemudian ia lihat selepas itu darah kuning selama lima hari pula, maka darah kuning itu adalah haid. Adapun tempoh 15 hari di antara darah hitam dan darah kuning itu dikira sebagai tempoh suci yang sempurna. (Ahkam at-Taharah, hlm. 67)